INDUSTRI PELANCONGAN
Pelancongan merupakan satu industri yang
sedang berkembang maju di dunia termasuk Malaysia.Ini disokong oleh pertumbuhan
ekonomi global yang semakin baik di samping peningkatan kualiti hidup penduduk
dunia seperti kadar pendapatan, kesihatan dan waktu terluang. Kesan daripada
keadaan ini, mereka berupaya melakukan perjalanan ke setiap pelusuk dunia untuk
bercuti, rekreasi dan tujuan-tujuan lain. Pelancongan dilihat mampu menjadi
ejen perubahan terhadap landskap ekonomi, alam sekitar dan sosial sesebuah
kawasan. Ia mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baharu, menjanakan peluang
pekerjaan dan keusahawanan kepada penduduk tempatan serta menggunakan sumber
jaya sedia ada sebagai tarikan pelancong.Kerajaan mensasarkan pembangunan
pelancongan tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar disebabkan lokasi ini
mempunyai kekayaan alam semulajadi dan warisan kebudayaan. Perancangan dan
pembangunan pelancongan di sesebuah destinasi perlu diuruskan dengan baik
supaya destinasi mampu bertahan dalam tempoh yang panjang di samping
menyumbangkan manfaat kepada persekitaran.
Sektor pelancongan, merupakan penyumbang
ketiga terbesar terhadap ekonomi negara selepas sektor pembuatan dan kelapa
sawit. Sektor ini banyak membuka peluang
pekerjaan serta perniagaan. Industri pelancongan bukan sahaja menggalakkan
penggiat industri ini mengembang luas perniagaan termasuk dalam sektor
perkhidmatan, yang menjana pendapatan dan aktiviti ekonomi negara, tetapi turut
menjadi jambatan hubungan antara rakyat dengan rakyat. Di Malaysia industri
pelancongan mula muncul pada akhir tahun 1960. Industri pelancongan tidak
dianggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke tahun 1970 kerana pada
masa itu, sumbangan komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah jauh
lebih penting. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula membangunkan industri
pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif seperti peningkatan pendapatan
dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan
pendapatan, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan
meningkatkan hasil kerajaan.
Kini Malaysia di iktiraf pada peringkat
global sebagai antara destinasi pelancongan utama, dengan kedudukan di antara
10 teratas dari segi ketibaan pelancong dan 15 antara teratas dari segi
penerimaan global. Industri pelancongan juga merupakan penyumbang yang penting
kepada ekonomi Negara. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang
dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya
berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju
dalam abad ini.
Pelancongan merujuk kepada pelancongan libur
dan pelancongan perniagaan, dan ia merangkumi subsektor seperti penginapan,
membeli-belah, produk pelancongan (iaitu ekopelancongan, pelancongan kapal
persiaran dan aktiviti lain yang berkaitan seperti spa dan kesejahteraan),
makanan dan minuman serta pengangkutan dalam negeri (inbound) dan pengangkutan
domestik.
Malaysia mempunyai kedudukan permulaan yang
kukuh untuk melonjakkan dirinya menjadi destinasi pelancongan yang utama.
Industri pelancongan sudah sememangnya besar, telah pun berkembang secara tekal
dengan pantas untuk tempoh 10 tahun yang lepas dan juga mempunyai kedudukan
daya saing global yang kukuh. Asas yang kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk
meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi Negara.
TAHAP PEMBANGUNAN
INDUSTRI PELANCONGAN
Sektor pelancongan telah meningkat
kedudukannya daripada tangga kelima pada tahun 2014 kepada tangga ketiga
tertinggi dalam Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada tahun 2015. Sektor
pelancongan negara menunjukkan peningkatan untuk muncul sebagai penyumbang
pendapatan negara kasar (PNK) ketiga tertinggi negara pada tahun lepas (2015)
walaupun jumlah ketibaan pelancong menunjukkan kemerosotan. Menurut Laporan
Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015, dari segi resit pelancongan, ia
menurun sebanyak 4 peratus daripada RM72 billion kepada RM69.1 billion pada
2015, manakala jumlah ketibaan plancong merosot sebanyak 6.3 peratus daripada 27.4
juta orang pada 2014 kepada 25.7 juta orang tahun 2015. Pada awal 2015, berlaku
penurunan dalam ketibaan dan penerimaan pelancong yang berpunca daripada
kelembapan ekonomi dunia dan cabaran seperti banjir terburuk dalam 30 tahun
yang menjejaskan beberapa negeri di Malaysia terutama di negeri Kelantan dan
kejadian gempa bumi di Ranau, Sabah pada Jun 2015 serta lanjutan daripada
peristiwa MH370 dan MH17. Malaysia turut menerima pelbagai anugerah pada tahun
2015 antaranya daripada majalah perjalanan dan barangan mewah yang terkenal di
India, iaitu “Travel + Leisure”, menobatkan Malaysia sebagai “Best
International Destination – Food and Drinks 2014” pada April 2015. Manakala
Muslim Travel Shopping Index (MTSI) 2015 turut menyatakan bahawa Malaysia
sebagai syurga membeli-belah yang kedua paling popular di dunia untuk pelancong
beragama Islam.
Malaysia merupakan destinasi pelancongan
tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik
pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan. Pelancongan menjadi
suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri
berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan
mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Potensi industri pelancongan
sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha
memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang
sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa,kemudahan
lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan
pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah
pelancong yang melawat Malaysia.· Kejayaan industri pelancongan tidak
semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan
yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit)di dalam dan luar negara.
Sektor pelancongan negara merupakan salah
satu sektor yang penting dalam ekonomi negara. Sehingga kini, sektor
pelancongan merupakan sektor kelima terbesar Negara selepas sektor perkhidmatan
kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga, dan petroleum. Namun
begitu pada peringkat awal selepas pasca kemerdekaan Malaysia, kerajaan tidak
memberi penekanan terhadap sektor pelancongan. Kerajaan pada ketika itu lebih
memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur negara dan melawan ancaman
komunis. Selain itu, faktor ancaman dari luar seperti konfrantasi dengan
Indonesia turut menjejaskan fokus kerajaan pada ketika itu. Ia sekaligus
melambatkan pekembangan sektor pelancongan di Malaysia.
Pada era tahun 60-an, sektor pelancongan
masih belum memainkan peranan yang penting terhadap perkembangan ekonomi
negara. Kerajaan pada ketika itu memberi tumpuan kepada sektor hasil bumi
seperti bijih timah dan getah. Walaubagaimanapun, sektor pelancongan negara
telah mula dilihat mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an. Ketibaan
pelancong melalui udara dan air ke Malaysia telah meningkat.
Sektor pelancongan negara dilihat semakin
berkembang pada awal tahun 80-an. Pada ketika ini negara sudah aman daripada
ancaman komunis dan juga ancaman luar. Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan
dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah
menaiktaraf kementerian tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan
Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia telah merancakkan lagi
pembangunan industri pelancongan negara.
KEPENTINGAN DAN
SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA.
Dari segi ekonomi,sektor pelancongan dapat
meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara
kita.Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara
mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini
dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran mata wang
asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai
perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga
mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata
wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan
dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan
dari luar negara.
Di samping itu,sektor pelancongan juga dapat
memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong asing yang
datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman,
perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang
lain-lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal
mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama
ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar
dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan.
Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan
secara terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup
panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan
yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada
usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan
tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong
asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau
menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing
menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara
berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan
perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi
yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi,
van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan. Oeh
itu,sektor pelancongan ini telah banyak menyumbang dari segi ekonomi terhadap
negara kita.
Dari segi politik,sektor pelancongan dapat
memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia.Misalnya, melalui kejohanan
perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita dapat
mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita
dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij
dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia
Boleh’’ telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang
bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia
dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung
kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini telah membuktikan bahawa tarikan
penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong
ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas
dengan kos yang minima.
Sektor pelancongan juga dapat dijadikan
sebagai pengukur bagi perpaduan sesebuah negara. Di Malaysia terdiri daripada
pelbagai agama, bangsa dan warisan etnik.
Proses perpaduan akan wujud apabila ahli-ahli dari satu kumpulan mengunjungi
kumpulan yang lain. Lama-kelamaan sempadan yang menyekat akan hilang dan
berkurangan. Selain itu, penganjuran pelancongan antarabangsa dapat menjalinkan dan mengukuhkan kerjasama
dengan negara-negara yang terlibat. Sebagai contoh, Malaysia telah menjalin
hubungan kerjasama dengan beberapa buah negera di Asia Tengah, China dan Eropah
bagi memajukan industri pelancongan di Malaysia. Apabila para pemimpin dari seluruh dunia
menghadiri upacara perasmian dan penutupan bagi sesuatu program pelancongan, sudah
pasti para pemimpin akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan
diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan cara demikian, maka
wujudlah keharmonian di kalangan manusia di pelbagai negara walaupun berlainan
agama, bangsa dan politik.
HALANGAN DAN CABARAN
INDUSTRI PELANCONGAN
Sektor pelancongan di negara kita berkembang
maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan
tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas
hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor
pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas.
Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk
memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika
ditinjau dengan mendalam terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh sektor
pelanconagan di negara kita pada masa depan.
Antara cabaran yang dihadapi termasuklah
persaingan sektor pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal ini
demikian,bukan sahaja negara kita tetapi negara-negara yang lain juga
mengetahui kebaikan dan kepentingan sektor pelancongan terhadap sesebuah
negara. Oleh itu banyak negara mempromosikan pelancongan di negara mereka dan
kita hendaklah bersaing dengan mereka untuk menjadi destinasi utama pelancong.
Oleh itu, kita haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik para
pelancong ke negara kita.
Di samping itu, pencemaran alam sekitar juga
merupakan salah satu cabaran sektor pelancongan di negara kita pada masa depan.
Hal ini disebabkan, pencemaran alam sekitar kebelakangan ini menjadi semakin
buruk akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir ahli masyarakat dan telah
merosakkan kecantikkan alam sekeliling kita. Pada masa kini,negara kita
mempunyai alam sekeliling yang cantik sekali dan telah menjadi tulang belakang
bagi sektor pelancongan di negara kita. Jika pencemaran alam sekitar menjadi
buruk, sektor pelancongan di negara kita pasti dijejaskan kerana
pelancong-pelancong hendak menikmati
persekitaran yang cantik dan bersih bukan yang kotor serta busuk.
Selain itu, tidak kestabilan politik di
negara kita juga merupakan cabaran yang kita akan hadapi . politikyang tidak
stabil akan menjejaskan imej negara.Sebagai contoh, Pergaduhan yang berlaku
kebelakangan ini di Thailand. Kekeliruan ini telah menyebabakan pelancong dari
negara lain tidak berani pergi ke sana disebabkan kaselamatan diri semasa
melancong. Ramai pelancong tidak lagi suka datang ke sini atau memberitahu
kawan-kawan mereka tentang keindahan negara kerana imej yang sudah terjejas
itu. Lama-kelamaan, imej yang tidak dijaga ini akan membawa lebih banyak
kemusnahan imej. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan
buruk pada sektor pelancongan.
Bukan itu sahaja, kebudayaan tempatan yang
semakin dilupai oleh orang ramai juga merupakan salah satu faktor. Pada era
globisasi ini, terdapat ramai remaja mengabaikan kebudayaan sendiri dan
mempelajari budaya Barat. Remaja hari ini beranggap bahawa mereka akan diketawai
ileh kawan mereka jika mereka mewariskan budaya daripada nenek moyang mereka.
Kebudayaan merupakan faktor yang penting dalam sektor pelancongan kerana
pelancong-pelancong inigin merasai kebuayaan yang tidak sama di negara lain.
Banyak kebudayaan tempatan semakin dilupai seperti permainan, seni , persembahan yang tradisional
dan seandai-andain
SISTEM SOKONGAN OLEH
PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI
PELANCONGAN
Pada tahun 1972, Akta Perbadanan Kemajuan
Pelancongan Malaysia 1972 telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat
persetujuan Diraja dan dengan ini Perbadanan menjadi sebuah badan
berkanun. Ahli-ahli Lembaga Pengarang
adalah dilantik oleh Y.B. Menteri Perdagangan dan Perindustrian dan adalah
bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Perbadanan dan pentadbiran am mengenai
hal ehwal dan urus Perbadanan.
Di dalam menjalankan tugas-tugas yang
diperuntukkan, garis-garis yang ditetapkan oleh Perbadanan adalah seperti
memperkenalkan Malaysia di dalam pasaran antarabangsa dan serantau, menambahkan
perjalanan warganegara Malaysia di masa cuti di antara negeri bagi menggiatkan
lagi perkembangan pelancongan dalam negeri menyertai dalam pembangunan fizikal
industri pelancongan, mengadakan perhubungan perwakilan dan menjalani
tugas-tugas yang berhubung dengan pelancongan Antarabangsa dan serantau,
menempatkan Malaysia sebagai pusat konvensyen, mengikuti perkembangan
pembangunan dan mempastikan keperluan sekarang dan masa depan bagi pelancong-pelancong
dalam negeri dan luar negeri dan juga membuat pengesyoran bagi pembangunan
Wilayah, mengumpul, mengolah data-data pelancongan dan keterangan-keterangannya
bagi penggunaan statistik pelancongan, mengatur, mengawal dan menentukan
Industri Pelancongan berkembang bagi kepentingan negara.
Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6:
1991-1995), kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan
produk-produk pelancongan baru. Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi
melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program
dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan,
sukan, konvensyen dan pameran.
Pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan
bukan kerajaan. Aktiviti yang
dimaksudkan adalah seperti pameran
kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi
(LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan
pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa
dengan promosi yang lengkap
dan meluas. Penganjuran
sukan bertaraf antarabangsa dapat memperkenalkan negara
kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar negara
seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan
membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi
penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi jugaterbilang dalam bidang
pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan tanpa
menunggu musim-musim tertentu
sahaja.
Dengan
cara ini, kita
dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh
daripada kedatangan pelancong ke negara kita. Dalam usaha untuk memasarkan
jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan
melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan
kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Hasilnya,
baru-baru ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah
menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan
kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini didapati telah
mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan. Selain itu, Kementerian Pelancongan juga aktif
menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang
berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur.
Tuntasnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor
pelancongan di Malaysia.
Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat
setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai
destinasi pelancongan dunia. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada para
pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa
bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan.
Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan
hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan.
Salah satu cara sokongan kerajaan dalam
meningkatkan industri pelancongan adalah melalui, fungsi tourism Malaysia.
Tourism Malaysia akan memanfaatkan promosi dan pemasaran digital sepenuhnya
melalui penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial yang inovatif untuk
menawarkan pengalaman pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen
pasaran khusus. Media sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong
memandangkan pandangan dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan
kepada pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan
digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan
platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan
dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan
yang menarik dan relevan.
Pembangunan dan pelaksanaan produk serta
kemudahan secara bersepadu antara agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri
dengan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan. Usaha ini adalah untuk
membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan pelancongan secara
lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat dicapai. Semua projek
pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara.
LANGKAH-LANGKAH UNTUK
MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN
Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber
penting bagi pendapatan negara. “Pendapatan industri pelancongan mencatatkan
peningkatan 7.2 peratus dengan nilai RM103.3 billion pada tahun 2-13 dalam
menjana ekonomi Malaysia”, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin. Hal ini menunjukkan peningkatan ekonomi yang memberangsangkan
yang dibawa masuk melalui industri pelancongan. Kerajaan telah menggerakkan
semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar
dengan pengguna negara yang pantas. Namun begitu, insiden yang menimpa negara
beberapa tahun kebelakangan ini dengan kejadian misteri iaitu kehilangan
pesawat Malaysia Airlines Systems (MAS) MH371 dari China ke Kuala Lumpur dan
MH17 yang ditembak lalu terhempas di Ukraine sedikit sebanyak boleh menjejaskan
industri pelancongan negara. Kebanyakan pelancong berasa terancam untuk datang
ke Malaysia apatah lagi tahun 2014 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat
Malaysia. Oleh itu semua pihak haruslah mengatur langkah yang lebih proaktif
untuk memastikan industri pelancongan negara kita terus rancak dengan kunjungan
para pelancong sama ada dari dalam negara atau dari luar negara untuk
memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini.
Langkah prima untuk meningkatkan industri
pelancongan negara ialah kerajaan perlu memperlengkapkan kemudahan dan
prasarana pengangkutan dan perhubungan di negara kita sehingga menjadi
prasarana kelas pertama terutamanya destinasi yang menjadi tumpuan pelancong.
Faktor utama pelancong datang di sesebuah negara adalah kerana kemudahan
prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan yang terdapat di sesebuah
negara. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin
keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkapkan
kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan
pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak pelancong yang datang ke negara kita adalah
untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah
kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di
sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan
alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya
kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan
perkhidmatan pengangkutan tersebut. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemudahan
yang baik akan memudahkan para pelancong menelusuri dari satu destinasi
pelancongan ke satu destinasi pelancongan yang lain dan dapat membangunkan
industri ini.
Selain itu, kemudahan
penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, tandas, bekalan air dan elektrik
turut menjadi faktor penting dalam menarik banyak pelancong mengunjungi negara
kita. Kemudahan penginapan penting kerana situasi ini akan menentukan sama ada
seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat
penginapan selesa dan lengkap, hal ini
akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali
gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel
dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di
bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam
usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan
harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu.
Masalah tandas yang terhad dan berbau busuk selain bekalan air dan elektrik
yang kerap meragam perlu diatasi. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong
tertarik untuk berkunjung lagi ke sini. Tegasnya, keselesaan pelancong ketika
menginap di negara kita perlu dititikberatkan agar industri ini dapat
dibangunkan.
Jika
ditinjau dari sudut yang lain, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil
bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara
kita. Faktor kawalan keselamatan yang terjamin di sesuatu destinasi pelancongan
sering menjadi kayu pengukur untuk mereka datang ke destinasi pelancongan yang
menjadi pilihan di hati mereka. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat
segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu,
Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis
menangani jenayah ke atas pelancong.
Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak
dan tipu harus ditangani secepat mungkin.Ini perlu dilakukan agar pelancong
asing terus berkunjung ke negara ini. Bilangan anggota pasukan keselamatan
perlu ditambah supaya rondaan dapat dilakukan dengan lebih kerap di kawasan tumpuan
pelancong. Sehubungan dengan itu, pelancong dapat melancong di negara kita
dengan lebih selesa dan sekali gus imej negara terpelihara di mata dunia.
Pendek kata, kawalan keselamatan yang baik mampu meningkatkan industri
pelancongan negara.
KESIMPULAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup
bersunguh-sungguh dalam membangunkan industri pelancongan. Justeru itu, pihak
yang berkepentingan seharusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada
pelancong yang melawat negara ini. Bagi membolehkan perancangan dan penyediaan
perkhidmatan yang mencukupi. Ini kerana sektor pelancongan merupakan industri
yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi Negara dan merupakan satu sektor yang
penting bagi meningkatkan hasil pendapatan Negara melalui peningkatan jumlah pelancong
yang berkunjung. Pergerakan dan perbelanjaan para pelancong mampu meningkatkan
pendapatan Negara melalui cukai membeli-belah, cukai penginapan, cukai makanan
dan juga melalui pertukaran matawang asing. Jelas bahawa terdapat pelbagai
langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor
pelancongan di negara kita. Memang diakui pelancongan merupakan suatu industri
yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan. Oleh itu, usaha memajukan
industri pelancongan bukanlah terletak atas pihak berkuasa semata-mata. Semua
pihak hendaklah tampil dan menunjukkan semangat yang tinggi untuk membantu
kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat. Jika
tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan
sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan
dan luar negara. Kerjasama dan kesungguhan daripada semua pihak yang terbabit
akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di
dunia. Industri pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan
destinasi pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan
lain-lain sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah
disokong oleh rakyat jelata.