Wednesday 30 November 2016

INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA

INDUSTRI PELANCONGAN
Pelancongan merupakan satu industri yang sedang berkembang maju di dunia termasuk Malaysia.Ini disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang semakin baik di samping peningkatan kualiti hidup penduduk dunia seperti kadar pendapatan, kesihatan dan waktu terluang. Kesan daripada keadaan ini, mereka berupaya melakukan perjalanan ke setiap pelusuk dunia untuk bercuti, rekreasi dan tujuan-tujuan lain. Pelancongan dilihat mampu menjadi ejen perubahan terhadap landskap ekonomi, alam sekitar dan sosial sesebuah kawasan. Ia mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baharu, menjanakan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada penduduk tempatan serta menggunakan sumber jaya sedia ada sebagai tarikan pelancong.Kerajaan mensasarkan pembangunan pelancongan tertumpu di kawasan-kawasan luar bandar disebabkan lokasi ini mempunyai kekayaan alam semulajadi dan warisan kebudayaan. Perancangan dan pembangunan pelancongan di sesebuah destinasi perlu diuruskan dengan baik supaya destinasi mampu bertahan dalam tempoh yang panjang di samping menyumbangkan manfaat kepada persekitaran.
Sektor pelancongan, merupakan penyumbang ketiga terbesar terhadap ekonomi negara selepas sektor pembuatan dan kelapa sawit.  Sektor ini banyak membuka peluang pekerjaan serta perniagaan. Industri pelancongan bukan sahaja menggalakkan penggiat industri ini mengembang luas perniagaan termasuk dalam sektor perkhidmatan, yang menjana pendapatan dan aktiviti ekonomi negara, tetapi turut menjadi jambatan hubungan antara rakyat dengan rakyat. Di Malaysia industri pelancongan mula muncul pada akhir tahun 1960. Industri pelancongan tidak dianggap sebagai aktiviti ekonomi yang utama sehingga ke tahun 1970 kerana pada masa itu, sumbangan komoditi utama seperti getah dan bijih timah adalah jauh lebih penting. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia mula membangunkan industri pelancongan untuk memenuhi beberapa objektif seperti peningkatan pendapatan dalam pertukaran mata wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan, menggalakkan pembangunan kawasan, mempelbagaikan ekonomi dan meningkatkan hasil kerajaan.

Kini Malaysia di iktiraf pada peringkat global sebagai antara destinasi pelancongan utama, dengan kedudukan di antara 10 teratas dari segi ketibaan pelancong dan 15 antara teratas dari segi penerimaan global. Industri pelancongan juga merupakan penyumbang yang penting kepada ekonomi Negara. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.
Pelancongan merujuk kepada pelancongan libur dan pelancongan perniagaan, dan ia merangkumi subsektor seperti penginapan, membeli-belah, produk pelancongan (iaitu ekopelancongan, pelancongan kapal persiaran dan aktiviti lain yang berkaitan seperti spa dan kesejahteraan), makanan dan minuman serta pengangkutan dalam negeri (inbound) dan pengangkutan domestik.
Malaysia mempunyai kedudukan permulaan yang kukuh untuk melonjakkan dirinya menjadi destinasi pelancongan yang utama. Industri pelancongan sudah sememangnya besar, telah pun berkembang secara tekal dengan pantas untuk tempoh 10 tahun yang lepas dan juga mempunyai kedudukan daya saing global yang kukuh. Asas yang kukuh ini dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi Negara.

TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN

Sektor pelancongan telah meningkat kedudukannya daripada tangga kelima pada tahun 2014 kepada tangga ketiga tertinggi dalam Pendapatan Negara Kasar (PNK) pada tahun 2015. Sektor pelancongan negara menunjukkan peningkatan untuk muncul sebagai penyumbang pendapatan negara kasar (PNK) ketiga tertinggi negara pada tahun lepas (2015) walaupun jumlah ketibaan pelancong menunjukkan kemerosotan. Menurut Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015, dari segi resit pelancongan, ia menurun sebanyak 4 peratus daripada RM72 billion kepada RM69.1 billion pada 2015, manakala jumlah ketibaan plancong merosot sebanyak 6.3 peratus daripada 27.4 juta orang pada 2014 kepada 25.7 juta orang tahun 2015. Pada awal 2015, berlaku penurunan dalam ketibaan dan penerimaan pelancong yang berpunca daripada kelembapan ekonomi dunia dan cabaran seperti banjir terburuk dalam 30 tahun yang menjejaskan beberapa negeri di Malaysia terutama di negeri Kelantan dan kejadian gempa bumi di Ranau, Sabah pada Jun 2015 serta lanjutan daripada peristiwa MH370 dan MH17. Malaysia turut menerima pelbagai anugerah pada tahun 2015 antaranya daripada majalah perjalanan dan barangan mewah yang terkenal di India, iaitu “Travel + Leisure”, menobatkan Malaysia sebagai “Best International Destination – Food and Drinks 2014” pada April 2015. Manakala Muslim Travel Shopping Index (MTSI) 2015 turut menyatakan bahawa Malaysia sebagai syurga membeli-belah yang kedua paling popular di dunia untuk pelancong beragama Islam.
Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatan. Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini. Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa,kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.· Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit)di dalam dan luar negara.
Sektor pelancongan negara merupakan salah satu sektor yang penting dalam ekonomi negara. Sehingga kini, sektor pelancongan merupakan sektor kelima terbesar Negara selepas sektor perkhidmatan kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas dan tenaga, dan petroleum. Namun begitu pada peringkat awal selepas pasca kemerdekaan Malaysia, kerajaan tidak memberi penekanan terhadap sektor pelancongan. Kerajaan pada ketika itu lebih memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur negara dan melawan ancaman komunis. Selain itu, faktor ancaman dari luar seperti konfrantasi dengan Indonesia turut menjejaskan fokus kerajaan pada ketika itu. Ia sekaligus melambatkan pekembangan sektor pelancongan di Malaysia.
Pada era tahun 60-an, sektor pelancongan masih belum memainkan peranan yang penting terhadap perkembangan ekonomi negara. Kerajaan pada ketika itu memberi tumpuan kepada sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah. Walaubagaimanapun, sektor pelancongan negara telah mula dilihat mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an. Ketibaan pelancong melalui udara dan air ke Malaysia telah meningkat.
Sektor pelancongan negara dilihat semakin berkembang pada awal tahun 80-an. Pada ketika ini negara sudah aman daripada ancaman komunis dan juga ancaman luar. Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan. Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah menaiktaraf kementerian tersebut kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan tersebut, ia telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara.

KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN  EKONOMI NEGARA.

Dari segi ekonomi,sektor pelancongan dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita.Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan atau di pusat pertukaran mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara.

Di samping itu,sektor pelancongan juga dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Ini adalah kerana pelancong asing yang datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan yang lain-lain. Pelancong asing amat menggemari makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan. Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama yang amat cantik dan menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi pantai. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan. Oeh itu,sektor pelancongan ini telah banyak menyumbang dari segi ekonomi terhadap negara kita.
Dari segi politik,sektor pelancongan dapat memperkenalkan negara Malaysia ke seantero dunia.Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan ‘’Malaysia Boleh’’ telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini telah membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan kedatangan pelancong ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar secara meluas dengan kos yang minima.
Sektor pelancongan juga dapat dijadikan sebagai pengukur bagi perpaduan sesebuah negara. Di Malaysia terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan warisan etnik.  Proses perpaduan akan wujud apabila ahli-ahli dari satu kumpulan mengunjungi kumpulan yang lain. Lama-kelamaan sempadan yang menyekat akan hilang dan berkurangan. Selain itu, penganjuran pelancongan antarabangsa  dapat menjalinkan dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Sebagai contoh, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negera di Asia Tengah, China dan Eropah bagi memajukan industri pelancongan di Malaysia.  Apabila para pemimpin dari seluruh dunia menghadiri upacara perasmian dan penutupan bagi sesuatu program pelancongan, sudah pasti para pemimpin akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan cara demikian, maka wujudlah keharmonian di kalangan manusia di pelbagai negara walaupun berlainan agama, bangsa dan politik.

HALANGAN DAN CABARAN INDUSTRI PELANCONGAN

Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan luang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh sektor pelanconagan di negara kita pada masa depan.
Antara cabaran yang dihadapi termasuklah persaingan sektor pelancongan dengan negara-negara yang lain. Hal ini demikian,bukan sahaja negara kita tetapi negara-negara yang lain juga mengetahui kebaikan dan kepentingan sektor pelancongan terhadap sesebuah negara. Oleh itu banyak negara mempromosikan pelancongan di negara mereka dan kita hendaklah bersaing dengan mereka untuk menjadi destinasi utama pelancong. Oleh itu, kita haruslah membuat persediaan yang cukup untuk menarik para pelancong ke negara kita.
Di samping itu, pencemaran alam sekitar juga merupakan salah satu cabaran sektor pelancongan di negara kita pada masa depan. Hal ini disebabkan, pencemaran alam sekitar kebelakangan ini menjadi semakin buruk akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir ahli masyarakat dan telah merosakkan kecantikkan alam sekeliling kita. Pada masa kini,negara kita mempunyai alam sekeliling yang cantik sekali dan telah menjadi tulang belakang bagi sektor pelancongan di negara kita. Jika pencemaran alam sekitar menjadi buruk, sektor pelancongan di negara kita pasti dijejaskan kerana pelancong-pelancong  hendak menikmati persekitaran yang cantik dan bersih bukan yang kotor serta busuk.
Selain itu, tidak kestabilan politik di negara kita juga merupakan cabaran yang kita akan hadapi . politikyang tidak stabil akan menjejaskan imej negara.Sebagai contoh, Pergaduhan yang berlaku kebelakangan ini di Thailand. Kekeliruan ini telah menyebabakan pelancong dari negara lain tidak berani pergi ke sana disebabkan kaselamatan diri semasa melancong. Ramai pelancong tidak lagi suka datang ke sini atau memberitahu kawan-kawan mereka tentang keindahan negara kerana imej yang sudah terjejas itu. Lama-kelamaan, imej yang tidak dijaga ini akan membawa lebih banyak kemusnahan imej. Jelaslah, politik yang tidak stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan.
Bukan itu sahaja, kebudayaan tempatan yang semakin dilupai oleh orang ramai juga merupakan salah satu faktor. Pada era globisasi ini, terdapat ramai remaja mengabaikan kebudayaan sendiri dan mempelajari budaya Barat. Remaja hari ini beranggap bahawa mereka akan diketawai ileh kawan mereka jika mereka mewariskan budaya daripada nenek moyang mereka. Kebudayaan merupakan faktor yang penting dalam sektor pelancongan kerana pelancong-pelancong inigin merasai kebuayaan yang tidak sama di negara lain. Banyak kebudayaan tempatan semakin dilupai seperti  permainan, seni , persembahan yang tradisional dan seandai-andain
SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN

Pada tahun 1972, Akta Perbadanan Kemajuan Pelancongan Malaysia 1972 telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat persetujuan Diraja dan dengan ini Perbadanan menjadi sebuah badan berkanun.  Ahli-ahli Lembaga Pengarang adalah dilantik oleh Y.B. Menteri Perdagangan dan Perindustrian dan adalah bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas Perbadanan dan pentadbiran am mengenai hal ehwal dan urus Perbadanan.
Di dalam menjalankan tugas-tugas yang diperuntukkan, garis-garis yang ditetapkan oleh Perbadanan adalah seperti memperkenalkan Malaysia di dalam pasaran antarabangsa dan serantau, menambahkan perjalanan warganegara Malaysia di masa cuti di antara negeri bagi menggiatkan lagi perkembangan pelancongan dalam negeri menyertai dalam pembangunan fizikal industri pelancongan, mengadakan perhubungan perwakilan dan menjalani tugas-tugas yang berhubung dengan pelancongan Antarabangsa dan serantau, menempatkan Malaysia sebagai pusat konvensyen, mengikuti perkembangan pembangunan dan mempastikan keperluan sekarang dan masa depan bagi pelancong-pelancong dalam negeri dan luar negeri dan juga membuat pengesyoran bagi pembangunan Wilayah, mengumpul, mengolah data-data pelancongan dan keterangan-keterangannya bagi penggunaan statistik pelancongan, mengatur, mengawal dan menentukan Industri Pelancongan berkembang bagi kepentingan negara.
Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6: 1991-1995), kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan baru. Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program dan acara merangkumi kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan pameran.
Pelbagai aktiviti yang menarik telah  diadakan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan.  Aktiviti yang dimaksudkan adalah seperti  pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA) dan Kejohanan Lumba Basikal Tour de Langkawi. Kejohanan-kejohanan dan pameran ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi   yang   lengkap   dan   meluas.  Penganjuran  sukan   bertaraf   antarabangsa   dapat memperkenalkan  negara  kepada perwakilan atau atlet-atlet dari luar  negara  seterusnya dapat menarik kedatangan pelancong dari seantero dunia dan membuktikan kepada mereka bahawa Malaysia bukan sahaja cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa tetapi jugaterbilang dalam bidang pelancongan. Kesannya, kedatangan pelancong ke negara kita juga akan berterusan   tanpa   menunggu   musim-musim   tertentu   sahaja.
Dengan   cara   ini,   kita   dapat meningkatkan ekonomi negara dan mengekalkan pulangan yang diperoleh daripada kedatangan pelancong ke negara kita. Dalam usaha untuk memasarkan jenama Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang patut dikunjungi, kerajaan melalui pelbagai agensinya begitu agresif mempromosikan produk pelancongan kepada warga dunia kerana kata orang tak kenal, maka tak cinta. Hasilnya, baru-baru ini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah menganjurkan acara “Malaysian Kitchen” di kota London untuk memperkenalkan kepelbagaian makanan tempatan kepada warga Britian. Acara ini didapati telah mendapat sambutan yang hangat daripada warga negara berkenaan. Selain  itu, Kementerian Pelancongan juga aktif menyertai pameran-pameran pelancongan terutama di pasaran baharu yang berpotensi besar seperti negara-negara Timur Tengah dan Eropah Timur. Tuntasnya, promosi yang telah diatur sudah pasti akan merancakkan sektor pelancongan di Malaysia.
Tidak dapat kita nafikan bahawa masyarakat setempat menjadi tulang belakang kepada usaha mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia. Sementalahan pula, sebagai tuan rumah kepada para pelancong, warga tempatan hendaklah mempamerkan sikap ramah dan berbudi bahasa bagi memastikan para pelancong selesa dan berasa kehadiran mereka dialu-alukan. Di samping itu, jika merancang untuk bercuti dan melancong, rakyat tempatan hendaklah menjadikan destinasi pelancongan tempatan sebagai pilihan.
Salah satu cara sokongan kerajaan dalam meningkatkan industri pelancongan adalah melalui, fungsi tourism Malaysia. Tourism Malaysia akan memanfaatkan promosi dan pemasaran digital sepenuhnya melalui penggunaan perkakasan interaktif dan media sosial yang inovatif untuk menawarkan pengalaman pelancongan yang disesuaikan mengikut keperluan segmen pasaran khusus. Media sosial akan digunakan untuk menguasai pasaran pelancong memandangkan pandangan dan ulasan dalam talian menjadi semakin popular sebagai rujukan kepada pelancong dalam membuat keputusan pengembaraan. Peserta industri akan digalakkan untuk memaksimumkan potensi pemasaran digital dengan memanfaatkan platform yang disediakan oleh Tourism Malaysia. Platform pemasaran akan dipertingkatkan untuk lebih mesra pengguna, interaktif dan mempunyai kandungan yang menarik dan relevan.
Pembangunan dan pelaksanaan produk serta kemudahan secara bersepadu antara agensi Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dengan pihak berkuasa tempatan akan dipertingkatkan. Usaha ini adalah untuk membolehkan kecekapan dan keberkesanan dalam pembangunan pelancongan secara lestari dengan penggunaan sumber secara optimum dapat dicapai. Semua projek pelancongan akan dibangunkan berdasarkan Dasar Pelancongan Negara.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN

Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber penting bagi pendapatan negara. “Pendapatan industri pelancongan mencatatkan peningkatan 7.2 peratus dengan nilai RM103.3 billion pada tahun 2-13 dalam menjana ekonomi Malaysia”, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hal ini menunjukkan peningkatan ekonomi yang memberangsangkan yang dibawa masuk melalui industri pelancongan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pengguna negara yang pantas. Namun begitu, insiden yang menimpa negara beberapa tahun kebelakangan ini dengan kejadian misteri iaitu kehilangan pesawat Malaysia Airlines Systems (MAS) MH371 dari China ke Kuala Lumpur dan MH17 yang ditembak lalu terhempas di Ukraine sedikit sebanyak boleh menjejaskan industri pelancongan negara. Kebanyakan pelancong berasa terancam untuk datang ke Malaysia apatah lagi tahun 2014 diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia. Oleh itu semua pihak haruslah mengatur langkah yang lebih proaktif untuk memastikan industri pelancongan negara kita terus rancak dengan kunjungan para pelancong sama ada dari dalam negara atau dari luar negara untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini.
Langkah prima untuk meningkatkan industri pelancongan negara ialah kerajaan perlu memperlengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di negara kita sehingga menjadi prasarana kelas pertama terutamanya destinasi yang menjadi tumpuan pelancong. Faktor utama pelancong datang di sesebuah negara adalah kerana kemudahan prasarana seperti pengangkutan dan perhubungan yang terdapat di sesebuah negara. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan wajar memperlengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang akan dituju. Misalnya, banyak  pelancong yang datang ke negara kita adalah untuk menikmati keindahan pulau dan pantai. Oleh itu, kerajaan harus menambah kemudahan perkhidmatan bot atau feri dari tanah besar ke beberapa buah pulau di sekitar Laut China Selatan untuk memudahkan orang ramai menikmati keindahan alam semula jadi. Tugas menyediakan kemudahan ini akan lebih berkesan sekiranya kerajaan sentiasa mengawasi syarikat yang ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan tersebut. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemudahan yang baik akan memudahkan para pelancong menelusuri dari satu destinasi pelancongan ke satu destinasi pelancongan yang lain dan dapat membangunkan industri ini. 
         Selain itu, kemudahan penginapan yang selesa seperti hotel, chalet, tandas, bekalan air dan elektrik turut menjadi faktor penting dalam menarik banyak pelancong mengunjungi negara kita. Kemudahan penginapan penting kerana situasi ini akan menentukan sama ada seseorang pelancong itu akan tinggal lama atau sebaliknya. Jika tempat penginapan selesa dan lengkap,  hal ini akan mendorong seseorang pelancong itu tinggal lebih lama di negara ini sekali gus membolehkan negara memperoleh lebih banyak mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan di bandar atau di desa di seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga mengambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina itu. Masalah tandas yang terhad dan berbau busuk selain bekalan air dan elektrik yang kerap meragam perlu diatasi. Prasarana ini hendaklah dijaga agar pelancong tertarik untuk berkunjung lagi ke sini. Tegasnya, keselesaan pelancong ketika menginap di negara kita perlu dititikberatkan agar industri ini dapat dibangunkan.
            Jika ditinjau dari sudut yang lain, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil bagi menjamin kepuasan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Faktor kawalan keselamatan yang terjamin di sesuatu destinasi pelancongan sering menjadi kayu pengukur untuk mereka datang ke destinasi pelancongan yang menjadi pilihan di hati mereka. Kita tidak seharusnya lupa dengan gelagat segelintir masyarakat yang mengambil kesempatan ke atas pelancong. Oleh itu, Unit Keselamatan Pelancong perlu ditubuhkan untuk membantu pihak polis menangani  jenayah ke atas pelancong. Kejadian-kejadian rogol, mencabul kehormatan, menghendap, peras ugut, rompak dan tipu harus ditangani secepat mungkin.Ini perlu dilakukan agar pelancong asing terus berkunjung ke negara ini. Bilangan anggota pasukan keselamatan perlu ditambah supaya rondaan dapat dilakukan dengan lebih kerap di kawasan tumpuan pelancong. Sehubungan dengan itu, pelancong dapat melancong di negara kita dengan lebih selesa dan sekali gus imej negara terpelihara di mata dunia. Pendek kata, kawalan keselamatan yang baik mampu meningkatkan industri pelancongan negara.
KESIMPULAN

Malaysia merupakan sebuah negara yang cukup bersunguh-sungguh dalam membangunkan industri pelancongan. Justeru itu, pihak yang berkepentingan seharusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong yang melawat negara ini. Bagi membolehkan perancangan dan penyediaan perkhidmatan yang mencukupi. Ini kerana sektor pelancongan merupakan industri yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi Negara dan merupakan satu sektor yang penting bagi meningkatkan hasil pendapatan Negara melalui peningkatan jumlah pelancong yang berkunjung. Pergerakan dan perbelanjaan para pelancong mampu meningkatkan pendapatan Negara melalui cukai membeli-belah, cukai penginapan, cukai makanan dan juga melalui pertukaran matawang asing. Jelas bahawa terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Memang diakui pelancongan merupakan suatu industri yang cukup berpotensi dan begitu menguntungkan. Oleh itu, usaha memajukan industri pelancongan bukanlah terletak atas pihak berkuasa semata-mata. Semua pihak hendaklah tampil dan menunjukkan semangat yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat. Jika tidak, segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan luar negara. Kerjasama dan kesungguhan daripada semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia. Industri pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan destinasi pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah disokong oleh rakyat jelata. 

No comments:

Post a Comment